Lima belas lagu diumumkan sebagai finalis untuk tiga kategori dalam Anugerah Lagu Indie 2023 (ALI2023) yang akan berlangsung pada 7 Mac depan.
Penerbit eksekutifnya Ahmed Faris Amir berkata 15 lagu terbaik bagi kategori pop, rock dan hip hop itu dipilih daripada 626 penyertaan yang diterima sejak Julai tahun lepas.
“Beberapa kelainan dilakukan untuk penganjuran kali keempat ini dengan memperkenalkan kategori lagu terbaik di bawah genre pop, rock dan hip hop.
“Selain itu ALI2023 turut menambah baik format pemarkahan melibatkan 30 peratus undian awam secara dalam talian manakala 70 peratus pemarkahan juri profesional,” katanya pada majlis pengumuman finalis yang berlangsung di ESI Hub, Spacerubix.
Sementara itu, Penerbit Eksekutif Bersama ALI2023 Jennifer Thompson berkata lagu-lagu yang disenarai pendek sebagai finalis dipilih berdasarkan aspek kualiti lagu.
“Lagu yang dipilih dan dicalonkan mestilah mempunyai lirik dan muzik yang asli,” katanya.
Lagu yang disenaraikan dalam lima terbaik bagi kategori hip hop terbaik ialah Ice Cold Castle, Candy Mind, LXF, Gard O Gard dan Mimpi Untuk Semalam, manakala bagi kategori lagu pop terbaik adalah Pura, Pembunuh Malam, Stargazing, Luka dan Derana.
Sementara itu, kategori lagu rock terbaik ialah Jiwa (Takhta Milik Kita), In the Haze, Inti Sari, Terra Luna dan Souled Out.
Artis solo atau berkumpulan yang membawa lagu perlu memenangi kategori mereka terlebih dahulu sebelum berentap merentas genre untuk dinobatkan pemenang Pentas Akhir ALI2023 untuk membawa pulang wang tunai sebanyak RM36,000.
ALI2023 ini turut disokong Kementerian Belia dan Sukan, Gaya Hidup Rakan Muzik, Rakan Muda.
Para peminat muzik indie boleh menonton acara tersebut melalui laman YouTube pada 7 Mac 2024 mulai jam 8 malam hingga 12 tengah malam.
Sumber: Malaysia Kini