ANUGERAH Lagu Indie (ALI) merupakan satu platform yang diwujudkan khas untuk memberi pengiktirafan kepada barisan lagu indie yang kini sudah memasuki tahun keempat penganjuran pada 7 Mac depan.
Anugerah itu juga secara tidak langsung menjadi acara yang dinantikan oleh komuniti muzik indie.
Dalam pada itu, anugerah itu telah dianjurkan sebagai acara tahunan sejak tahun 2020 dengan misi utama untuk membuka peluang kepada bakat baharu untuk menyerlah bakat mereka dalam mencipta lagu dan nyanyian.
Anugerah ini sedang dalam fasa pencalonan 30 terbaik yang akan berakhir pada 31 Januari 2024, sebelum melangkah ke peringkat lima senarai terbaik pada 20 Februari depan.
“Anugerah Lagu Indie bukan anugerah berdasarkan populariti, sebaliknya elemen indie dan kualiti lagu itu sendiri yang menjadi kriteria utama dalam komponen penilaian juri.
“Anugerah ini sangat penting dalam menambah variasi kepada lagu-lagu yang popular sekarang ini menerusi media mainstream,” kata Penerbit Eksekutif Bersama Anugerah Lagu Indie, Faris.
Terdahulu, ALI musim pertama pada 2020, lagu Penawar oleh Margosa telah dinobatkan sebagai juara. Seterusnya, musim kedua (2021); lagu Enge Port, Arunboii telah tampil sebagai juara; ketiga (2022), Sinaran oleh Late Night Frequency ft. Ichu. — Arena Muzik